Wednesday, January 30, 2019

Pengalaman FYP di USM Penang

FYP..dalam Bahasa Inggeris disebut ‘Final Year Project’ manakala dalam Bahasa Melayunya pula ialah Projek Tahun Akhir. Bagi segelintir pelajar, FYP ni ibarat mimpi ngeri yang sentiasa menghantui selagi tak selesai membukukan thesis. Tapi mimpi ngeri ni jugalah yang akan menyelamatkan pointer pada semester yang berkenaan sebab kebanyakkan FYP diberikan bilangan kredit atau unit yang sangat tinggi. Sebagai contoh, untuk kos aku di USM, FYP ni berjumlah 8 unit. 8 unit tu teramat sangatlah mempengaruhi pointer. Seandainya FYP ampa boleh skor A solid, ada potensi untuk dapat anugerah dekan dah tu. 

Okaylah, cukuplah kut mukadimah kan. Hehehe.. Meh aku kongsikan sikit pengalaman aku ber fYP selama 2 semester. Yap, untuk kos aku, FYP ni mengambil masa selama 2 semester. Macam lama kan. Jangan risau. Jangan gelisah. Jangan gudah gulana. Nikmatnya selepas ampa dah selesai FYP tu, fuhhhh tak terkata. Lega yang amat. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang- lenang kemudian. Makanya, bersabarlah ye wahai para pembaca ku sekalian. 


Perkara pertama sekali sebelum memulakan FYP, ampa kenalah ada tajuk projek yang nak dilaksanakan dan supervisor yang terlibat. Supervisor ni mestilah pensyarah yang berpengalaman dan pakar dengan tajuk yang ampa pilih tu. Pemilihan tajuk selalunya bergerak seiring dengan kertas cadangan projek atau lebih senang disebut sebagai ‘proposal FYP’. Format untuk proposal boleh dirujuk kepada pensyarah masing-masing. Supervisor FYP ni bertindak sebagai penasihat dan pembimbing untuk pelajar menyelesaikan FYP. Jangan lupa ajak supervisor untuk berbincang tentang FYP ampa. Apakah perancangan yang sesuai dari permulaan FYP hingga tamat FYP nanti. Sesetengah supervisor mewajibkan pelajar untuk menyediakan Gantt Chart. Gantt Chart ni ialah perancangan (timeline) ampa untuk sepanjang tempoh FYP berlangsung. Macam-macam jenis ada Gantt Chart kalau ampa search kat google tu. Untuk situasi aku, supervisor aku tak mewajibkan untuk buat Gantt Chart, tapi akku buat juga satu untuk rujukan aku sendiri. Kebaikan Gantt Chart ni, kita boleh follow up progress FYP kita dari masa ke semasa.

Contoh Gantt Chart aku.

Bila tengah hadap FYP ni, rajinkan diri untuk membaca bahan-bahan akademik. Sebagai contoh, jurnal, ensiklopedia, buku dan lain-lain lagi. Pembacaan ni sangat penting untuk mengumpul segala jenis maklumat yang berkaitan dengan tajuk FYP ampa dan juga untuk persiapan menulis ‘literature review’. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘literature review’? Rajinkan diri anda untuk mencari maklumat yang lebih mendalam ye. Aku share dengan hampa secara ringkasnya sahaja. Untuk jurnal, aku cari melalui ScienceDirect, Scopus, Web of Science dan ada beberapa lagi.

Pada semester pertama, aku banyak menghabiskan masa dengan Proposal FYP. literature review dan sampling. Sampling merupakan proses mengumpul segala data yang diperlukan untuk FYP aku. 

Sebagai contoh, tajuk aku berkenaan Orchidaceae (orkid). Semasa separuh kedua semester pertama, aku dan rakan-rakan yang lain berkampung di Lenggong, Perak selama beberapa hari. Pada waktu siang, kami mengikut pensyarah masuk ke dalam hutan untuk mengumpul data-data dan spesimen untuk FYP. Kami turut dibantu oleh kumpulan postgrad dari school Biologi kami. Semasa berehat di penempatan di Lenggong tu, aku akan menyalin semula segala data yang dah direkodkan ketika di dalam hutan tadi ke atas buku log FYP aku. Jadi, seandainya berlaku sebarang kejadian atau kehilangan data, sekurang-kurangnya dah ada backup pada buku log tadi. Itulah yang disebut, sediakan payung sebelum hujan. 


Data-data yang direkodkan akan diolah mengikut keperluan masing-masing. Sudah selesai mendapatkan segala maklumat yang diperlukan, barulah kita dah bersedia untuk bergerak ke fasa yang seterusnya iaitu penulisan thesis. Berdasarkan pengalaman aku, fasa menulis thesis ialah fasa yang sangat penting. Tatabahasa, penggunaan ayat perlu dititikberatkan dan bebas ‘plagiarism’. ‘Plagiarism’ ialah tahap ketulenan penulisan kita. Penulisan thesis perlulah ori dan bebas dari sebarang unsur peniruan. Itulah yang dimaksudkan ‘plagiarism’. Jangan risau, thesis yang dah siap ditulis tu akan disemak semula oleh supervisor.

Setelah selesai semua pembetulan barulah thesis akan dibukukan menjadi hard cover thesis. Hard cover thesis memerlukan kos yang agak tinggi, bergantung kepada jenis cover thesis yang dipilih. Untuk proses binding thesis, mintalah nasihat-nasihat dari senior-senior ye. Selalunya senior-senior akan beritahu kedai-kedai yang menyediakan servis binding thesis pada kadar harga yang memuaskan dan servis berpatutan. Jadi, binalah network dengan senior masing-masing ye. 

Oh ya, satu lagi proses ialah VIVA. VIVA merupakan pembentangan projek. Akan ada panel pensyarah sebagai ahli juri. Tips untuk menghadapi VIVA ni banyak ada kat google. Kalau nak tahu lebih-lebih lagi, google sahaja nanti, okay?

Untuk sesiapa yang sedang berFYP tu, good luck. Jangan putus asa. Buat sehabis mungkin. Zaijian!